Rasional logo "Sahabat as-Sufi"
Logo ini menggambarkan simbol keislaman dengan identiti kesenian Islam yang utama iaitu seni khat. Logo ini juga membawa maksud yang tersendiri dalam melakari makna yang terkandung dalam komposisi Islam sebagai ad-Din (cara hidup). Penggunaan warna-warnanya menyentuh pelbagai dimensi kehidupan Muslim sebagai umat yang memiliki ciri-ciri kesederhanaan (wasatiyyah).
Perkataan "as-Saff" dengan titik huruf Fa berbentuk segi empat seakan permata (diamond) adalah lambang kepada kiblat (akidah) yang satu sebagai satu pegangan kepercayaan yang dapat memupuk semangat kesatuan dan perpaduan di kalangan umat Islam. Inilah suatu nikmat yang amat berharga iaitu nikmat iman. Darinya akan tercetuslah suasana yang damai sejahtera, seterusnya menumbuhkan rasa kasih sayang, permuafakatan dan saling mempercayai (dilambangkan dengan warna hijau).
Penggunaan seni khat gaya Diwaniy dengan huruf Alif & Lam yang melingkar ke atas serta bersambung sesamanya (tidak putus di bahagian atas) adalah simbol kepada suatu komuniti/kelab yang hidup sempurna serta memiliki integriti dan daya tahan dalam usaha yang tidak putus-putus untuk menggapai rahmat Allah S.W.T.
Warna coklat keemasan pada perkataan "as-Saff" memaknai paduan sesama umat Islam/pelajar-pelajar (sejajar dengan makna kata itu sendiri) dalam membentuk kekuatan (energy) untuk meraih keunggulan dan kegemilangan.
Pertumbuhan yang dibajai dengan ajaran dan syariat Islam (yang bersumberkan al-Quran & as-Sunnah) akan membentuk sahsiah (شخصيّة) insan yang dapat mengimbangi emosi dan akal, mencipta keterbukaan dengan orang lain dan mengatasi rasa tegang dengan rasa kasih sayang sesama manusia. Maksud ini dicakna oleh bentuk bulan sabit berwarna hijau yang bucunya berada di kanan dan kiri serta menghala ke atas (simbol kepada keseimbangan dengan dua bucu [al-Quran & as-Sunnah] berada di atas membawa makna menjunjung/mengangkat kedua-duanya sepanjang perjalanan hidup di dunia ini).
Di samping itu, bentuk bulan sabit yang berposisi seperti itu ialah simbol kepada senyuman. Dengannya dapat mendalami lagi makna warna hijaunya iaitu kesihatan, keamanan, keseimbangan, keterbukaan, kepercayaan dan juga kasih sayang; sesuai dengan tuntutan Islam agar memberi senyuman dengan muka yang manis dan menyenangkan hati orang lain.
Simbol warna putih kepada makna kebersihan/kesucian dan kebaikan diadaptasikan pada perkataan "Sahabat as-Sufi" sejajar dengan makna sufi iaitu sesuatu yang suci bersih dan mempunyai kebaikan.
Di sinilah pentingnya kita berpegang kepada ajaran al-Quran dengan tuntunan Baginda Rasul Muhammad S.A.W (as-Sunnah) dalam usaha kita membersihkan hati dan mensucikan jiwa untuk menjadi mukmin sejati. Itulah juga ciri yang perlu ada bagi sesuatu hubungan persahabatan agar menjadi sahabat yang baik.
Kuning dapat menyatakan makna ke arah tujuan masa depan yang cerah. Tujuan ini dapat dicapai dengan sifat berdikari (independen), tidak putus asa, istiqamah, memiliki kualiti & integriti ke arah kehidupan yang sempurna dan stabil. Inilah juga makna tersirat daripada lingkaran seni khat Thulut berwarna kuning yang berbentuk lengkungan tebal melingkari separa bulatan di bahagian bawah logo. Lingkaran lengkung ini juga ditebalkan bentuknya sebagai mengertikan makna kestabilan organisasi dengan hubungan yang baik sesama ahli/warga organisasi/institusi beserta kesatuan yang jitu ke arah kesempurnaan dengan erti kata yang sebenar.
VISI
"Organisasi unggul penjana generasi Islam terbilang"
MISI
"Membangunkan potensi individu melalui usaha dakwah yang mantap dan tarbiah yang berkualiti"
MATLAMAT
Melahirkan pelajar yang mempunyai pembangunan batiniah dan soft skill yang seimbang dari sudut duniawi dan ukhrawi
OBJEKTIF
- Mewujudkan bi'ah Islam di Kolej Matrikulasi Selangor.
- Mewujudkan generasi pelajar Islam, yang bercirikan insan berilmu dan berakhlak mulia.
- Melahirkan pelajar yang berperanan dalam menerapkan amar ma'ruf nahi mungkar dalam kehidupan.
- Melahirkan pelajar yang mempunyai kesedaran tentang kepentingan masjid atau surau sebagai pusat kecemerlangan rohani, jasmani, emosi dan intelek.
Terbaik
ReplyDelete