*Sebelum Rasulullah S.A.W. dilahirkan*

Kehamilan Siti Aminah disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya melalui mimpi ketika beliau sedang tidur. Kemudian para malaikat berdiri di hadapannya dan berkata "Khabar gembira untuk kamu, wahai ibu kepada seorang nabi, putera kamu ini penolong dan pembebas manusia, namakan dia Ahmad.''

Ketika mengandungkan Nabi Muhammad, ibunya tidak berasa sakit seperti ibu-ibu lain yang sedang mengandung.

Tanah-tanah di persekitaran kawasan rumah ibunya yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat.
*Semasa Rasulullah S.A.W. dilahirkan*

Ibu Nabi Muhammad menyaksikan cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria, menyerupai anak panah, bagaikan pelangi di langit, boleh dilihat walaupun dari kota-kota yang jauh. Ada juga yang menggambarkan cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia.

Semasa kelahirannya juga baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Nabi Muhammad yang mulia itu juga lahir dalam keadaan sudah berkhatan dan tidak mempunyai lebihan tali pusat. (dalil)

Berhala-berhala yang terdapat di persekitaran secara tiba-tiba rosak dan musnah. Riwayat daripada Abdul Muttalib, "Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata: "Telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui."

Gegaran di istana Kisra (Parsi) menyebabkannya 14 tiang serinya runtuh. Raja Kisra memanggil ahli nujumnya untuk meramalkan apa yang telah terjadi. Mereka memberitahu telah lahir seorang nabi dan runtuhnya 14 tiang itu menandakan hanya tinggal 14 orang lagi pewaris raja yang akan memerintah Parsi. Akan tetapi raja Kisra mengambil remeh kerana 14 keturunan itu dianggap suatu tempoh yang masih panjang. Umat Islam dilarang untuk mempercayai ramalan itu kerana sebelum kelahiran nabi Muhammad S.A.W, peramal menggunakan khidmat syaitan untuk mencuri berita dari langit. Akan tetapi dengan kuasa Allah, terjadinya perebutan kuasa di kalangan pewaris Kisra sehingga mereka berbunuh sesama sendiri dan dalam masa 4 tahun sahaja, 10 pemerintah telah bertukar ganti. Pemerintah yang terakhir telah mati ketika kaum muslimin menakluk Parsi di bawah pemeritahan Umar R.A.

Api yang disembah oleh orang-orang Majusi di negara Parsi, yang dikatakan tidak pernah padam selama seribu tahun, telah padam dengan sendirinya di seluruh negara dan tidak dapat dihidupkan lagi.

Air Tasik Sava di Parsi yang dianggap suci telah tenggelam ke dalam tanah. Tasik ini dianggap suci dan disembah dengan upacara korban dan sebagainya. Tasik itu kemudiannya telah dilupakan oleh penduduk setempat.
*Selepas Rasulullah S.A.W. dilahirkan*

Kerap berlaku kejadian tahi bintang (shooting star) menjadi tanda tamatnya pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib.

Setelah Halimatus Sa'diah (ibu angkat dan ibu susuan) membawa Rasulullah ke ladangnya di pergunungan, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau. Binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak.

Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda. Halimatus Sa'diah dan suaminya beberapa kali terlihat tompokan awan kecil berada di atas kepala Rasulullah seolah-olah ingin melindungi Rasulullah daripada panas matahari.

Ketika Nabi berumur empat tahun, sewaktu Baginda sedang bermain-main dengan saudara susuannya, datang malaikat Jibril dan Mikail, lalu membelah dada dan mengeluarkan segumpal darah dari dada baginda. Gumpalan darah itu dicuci dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bekas air emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya. Hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?
No comments:
Post a Comment